Skip to main content
RAMBUT

Sebab rambut beruban di usia yang muda

By 1 November 2022No Comments

rambut beruban

 

Rambut beruban adalah sebahagian dari proses penuaan, tetapi mengapa sesetengah mereka yang berumur 20-an mempunyai uban?  

Struktur rambut

Rambut mempunyai sejenis pigment pewarna ‘melanin’ yang dihasilkan oleh sel melanosit. Sel-sel ini terletak di lapisan basal kulit  yang paling dalam, tepat di atas papila rambut (bahagian bawah folikel rambut). 

Terdapat dua jenis melanin iaitu eumelanin dan pheomelanin. Eumelanin adalah pigmen gelap yang menghasilkan rambut coklat dan hitam manakala pheomelanin ialah pigmen kemerahan yang menghasilkan rambut perang halia dan strawberi. Rambut perang pula terhasil apabila melanosit menghasilkan tahap eumelanin yang rendah.

Rambut beruban

Rambut beruban terjadi apabila badan manusia mengalami proses penuaan kerana jumlah melanosit semakin berkurangan yang mempengaruhi penghasilan melanin rambut.

Kebiasaannya, orang berkulit putih mula beruban pada pertengahan 30-an, orang Asia lewat 30-an, dan Afrika-Amerika pada pertengahan 40-an. Pada usia mengganjak 50-an, kebanyakan manusia sudah mempunyai rambut beruban.

Namun terdapat juga mereka yang berumur 20-an sudah mempunyai uban atau dalam istilah sains dipanggil premature hair greying (PHG). Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor.

Genetik

Jika anda mempunyai datuk/nenek atau ibu/bapa yang mempunyai rambut beruban diusia yang muda, kemungkinan besar, anda juga akan mengalami perkara yang sama.

Merokok

Mereka yang merokok 2.5 kali ganda cenderung untuk mengalami PHG. Rokok mempunyai beribu bahan kimia toksik yang boleh merosakkan sel tubuh badan termasuk rambut. Bahan kimia ini boleh menyebabkan tekanan oksidatif pada sel melanosit yang boleh mengganggu penghasilan melanin.

Kekurangan vitamin

Kekurangan vitamin seperti vitamin B6, vitamin B12, copper, iron, biotin, kalsium, atau vitamin E menyumbang kepada PHG. Vitamin B6 dan B12 berfungsi untuk merangsang pengeluaran enzim dalam folikel rambut yang meningkatkan metabolisme protein rambut (keratin dan melanin). Vitamin B12 juga menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat dengan meningkatkan pengeluaran sel darah merah.

Penyakit

Penyakit seperti penyakit autoimun, vitiligo, penyakit genetik, dan penyakit tiroid boleh menyebabkan PHG. Hormon tiroid, T3 dan T4 menyumbang kepada pertumbuhan folikel rambut, apoptosis, dan penghasilan keratin. Gangguan kepada penghasilan tiroid hormon ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan rambut.

 

Tips melambatkan pertumbuhan uban

  • Berhenti merokok
  • Makan makanan berkhasiat – Makanan seperti salmon, telur, kekacang, ikan sardin, dan avokado adalah makanan yang sarat dengan vitamin seperti folat, vitamin B6, vitamin B12, biotin, dan vitamin D, untuk pertumbuhan rambut yang sihat.
  • Elakkan penggunaan produk rambut yang mempunyai bahan kimia yang boleh merosakkan rambut.
  • Gunakan bahan natural untuk merawat rambut – minyak kelapa, minyak argan, minyak kastor, dan minyak jojoba adalah sangat bagus untuk pertumbuhan rambut.

 

 

Rujukan:

  1. Van Beek, N., Bodo, E., Kromminga, A., Gáspár, E., Meyer, K., Zmijewski, M.A., Slominski, A., Wenzel, B.E. and Paus, R., 2008. Thyroid hormones directly alter human hair follicle functions: anagen prolongation and stimulation of both hair matrix keratinocyte proliferation and hair pigmentation. The Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism93(11), pp.4381-4388.
  2. Yale, K., Juhasz, M. and Mesinkovska, N.A., 2020. Medication-induced repigmentation of gray hair: a systematic review. Skin appendage diSOrderS6(1), pp.1-10.