Skip to main content
RAMBUT

Mengapa manusia mempunyai warna rambut yang berbeza

By 29 November 2022No Comments

 

Warna rambut

Terdapat pelbagai warna rambut semulajadi yang unik seperti hitam, merah, perang, dan putih. Setiap dari kita dilahirkan dengan warna rambut yang berbeza bergantung kepada taburan, jenis, kadar dan juga kuantiti melanin pada rambut.

Melanin adalah pigmen terdapat dalam sel rambut yang bertanggungjawab menghasilkan warna pada rambut. Melanin berasal dari asid amino yang dipanggil tirosin. Melanin dihasilkan oleh sel melanosit yang terdapat dalam kulit, mata dan folikel rambut. Jenis dan jumlah melanin dalam rambut pula ditentukan oleh genetik.

Jenis-jenis melanin

Terdapat 2 jenis melanin yang terdapat pada rambut, iaitu eumelanin dan pheomelanin:

  • Eumelanin

    Berwarna hitam dan coklat. Eumelanin bertanggungjawab untuk memberikan warna gelap pada kulit, mata dan rambut. Mereka yang berambut perang atau hitam mempunyai jumlah eumelanin coklat dan hitam yang berbeza-beza. Apabila tiada eumelanin hitam dan sedikit eumelanin coklat, maka rambut perang terhasil.

  • Pheomelanin

    Mewarnakan bibir, puting dan bahagian kulit yang berwarna merah jambu. Mereka yang mempunyai kepekatan eumelanin dan pheomelanin yang sama mempunyai rambut merah.

Melanin berfungsi untuk melindungi kulit dari kerosakan akibat sinaran UVA, UVB, UVC, dan cahaya biru, dengan menyerap sinaran UV tersebut. Selain itu, melanin juga berfungsi untuk menyerap ‘reactive oxygen species’, meningkatkan antioksidan dan menghapuskan radikal bebas.

Warna rambut diwarisi dari kedua ibu bapa melalui kromosom kepada keturunan mereka. Mereka yang tinggal dikawasan beriklim panas, yang sentiasa mendapat sinaran cahaya matahari yang banyak seperti di Malaysia, Indonesia, Thailand, India, Vietnam, dan Pakistan, mempunyai warna rambut yang lebih gelap, dan warna rambut yang lebih cerah dikaitkan dengan kawasan yang kurang cahaya matahari seperti mereka yang tinggal di Eropah, atau Amerika Utara.

Rambut beruban

Rambut beruban adalah disebabkan sel melanosit yang telah berkurang dan ini mempengaruhi penghasilan melanin dalam rambut. Rambut beruban kebiasaannya akan tumbuh apabila seseorang itu berganjak usia, tetapi terdapat juga merekan yang masih muda mempunyai uban.

Klik sini ntuk mengetahui sebab terhasilnya uban diusia yang muda.