Skip to main content
DAUN INAI

Manfaat dan kegunaan daun inai dalam hadis

By 21 July 2022No Comments

Pengenalan

Daun inai adalah salah satu tumbuhan yang disebut dalam hadis dan pernah digunakan oleh Rasulullah S.A.W untuk merawat pelbagai jenis kesakitan.  Inai dalam bahasa arab disebut sebagai al-hinna yang bermaksud tumbuhan yang ma’aruf (dikenali ramai).

Dalam bahasa latin, pokok inai dikenali sebagai Lawsonia Inermis, sejenis pokok yang banyak tumbuh di benua Asia dan Afrika, serta tumbuh luas di kawasan beriklim tropika.

Daun inai berbentuk seakan-akan daun delima, menghasilkan bunga putih seperti pohon anggur, dan juga menghasilkan warna merah yang digunakan secara tradisional sebagai agen pewarna pada jari atau rambut.

Untuk mengetahui bagaimana inai boleh mewarnai jari dan rambut, baca disini.

 

Manfaat dan kegunaan daun inai dalam hadis

Rasulullah SAW menggunakan inai sebagai pewarna untuk mewarnakan rambut, jari dan janggut, dan juga dalam bidang perubatan untuk menyembuhkan luka, bisul, sakit kaki, dan sakit kepala.

Ini dapat dilihat dalam hadis-hadis yang direkodkan:

Perubatan

Sunan Ibnu Majah,

“Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr Ibn Abi Saibah menyampaikan kepada kami Zaid ibn al-Hubab dari Fa’id maula ‘Ubaidillah ibn ‘Ali ibn Abi Rafi’ dari tuannya ‘Ubaidullah bahwa neneknya, Ummu Salma Rafi’, maula Rasulullah SAW berkata:

Tidaklah Rasulullah SAW menderita luka-luka bernanah dan tidak pula terkena duri, melainkan beliau meletakkan inai padanya.”

 

Sunan at-Tirmidhi

“Dari Ali Ibn Ubaydillah, dari datuknya, Salmi yang pernah melayani Nabi SAW berkata: “Apabila Rasullullah SAW luka atau tertusuk duri, maka baginda SAW memerintahku untuk meletakkan inai di atas luka tersebut”

 

Sunan At-Tirmidhi dan Ibn Majah

“Dari Ali bin Ubaidillah, dari datuknya, Salmi RA yang pernah melayani Nabi SAW berkata: “Apabila Rasulullah SAW luka (bisul) atau tertusuk duri, maka baginda SAW memerintahku untuk meletakkan inai di atas luka tersebut.”

 

Sunan Abu Dawud

“Telah diceritakan kepada kami Fa‟id hamba „Ubaidillah Ibn „Ali Ibn Abi Rafi‟, dari tuannya, „Ubaidillah Ibn „Ali Ibn Abi Rafi‟, dari datuknya Salmi, khadam Rasulullah SAW katanya: “Jika ada seseorang mengeluh kepada Rasulullah SAW akan sakit kepala yang menimpanya. Maka Baginda SAW bersabda kepada orang itu, “Berbekamlah! Dan jika ada orang yang mengeluh kepada Baginda SAW tentang sakit pada kedua belah kakinya. Maka Baginda SAW bersabda kepada orang itu. Balutlah dengan inai.”

 

Sunan Ibnu Majah

“Ketika Nabi SAW menderita sakit kepala, beliau membungkus kepalanya dengan inai dan berkata: “Ini akan menyembuhkan sakit kepala dengan izin Allah SWT”.

 

Pewarna

 

Sunan At-Tirmidhi, Ibn Majah, Abu Dawud, dan al-Nasa’i

“Dari Abu Dhar RA, dari Nabi SAW sabdanya: “Sesungguhnya yang terbaik untuk mengubah (mewarnakan) uban dengannya ialah inai dan katam (sejenis dengan inai).”

 

Sunan Abu Dawud

“Dari Abu Rimthah berkata: aku dan ayah menghadap Rasulullah SAW. (Ketika itu) rambutnya panjang (mencapai hujung daun telinga) yang diwarnakan dengan inai serta sedang memakai dua pakaian berwarna hijau.”

 

Sunan Abu Dawud dan al-Nasa’i

Dari Abu Rimthah katanya: Aku dan ayahku menghadap Rasulullah SAW, maka Rasulullah bertanya kepada ayahku: Siapa ini? Maka dijawab: “Dia anak ku.” Baginda bersabda, “Janganlah kamu hukum (berlaku jahat kepadanya).(Ketika itu) dia mewarnai janggutnya dengan inai.”

 

Sunan al nasa’i dan Abu Dawud

“Dari Aishah RA, seorang wanita mengisyaratkan di belakang tabir bahawa dia ingin menyampaikan surat kepada Baginda SAW. Lalu baginda melihat tangan itu seraya bersabda: “Aku tidak tahu samada ini tangan lelaki atau perempuan”. Perempuan itu menjawab: “Aku seorang wanita”. Baginda bersabda: “Sekiranya kamu seorang wanita, berbezalah (dengan lelaki) dengan memakai inai (dijari)”.

Mengikut kaedah perubatan islam, inai berupaya menyembuhkan luka. Caranya adalah dengan membersihkan luka terlebih dahulu, dan letakkan daun inai yang telah ditumbuk dan dihancurkan ke atas luka.

Sakit kepala juga dapat disembuhkan dengan menumbuk halus daun inai, dan dicampur dengan cuka. Campuran inai tersebut kemudiannya disapu pada dahi.

Terdapat kisah yang diriwayatkan mengenai seorang lelaki yang mempunyai kuku yang pecah-pecah. Setelah puas beriktihar, lalu datang seorang wanita menyarankan lelaki tersebut untuk meminum air rebusan inai selama 10 hari. Lelaki itu pun mengikut petua yang diberikan wanita tersebut, dan masalah jarinya yang pecah-pecah akhirnya sembuh.

Berdasarkan hadis-hadis yang telah dinyatakan di atas, jelas nyatalah khasiat daun inai yang mepunyai kebaikan dalam bidang perubatan, dan bukan hanya sebagai perhiasan wanita sahaja.