Apabila bercakap mengenai kedutan, rata-rata antara kita lebih menitikberatkan kedutan diwajah, dan mengabaikan kedutan dibahagian tubuh yang lain. Namun, kulit tangan kita terdedah kepada kerosakan akibat sinaran matahari dan kekotoran melebihi kulit wajah.
Seiring peredaran masa, kulit manusia akan mengalami penuaan dan ini akan mengakibatkan kulit menjadi berkedut. Namun sekiranya kulit tidak dijaga dengan baik, penuaan pramatang akan turut berlaku pada kulit.
Apabila kita keluar dari rumah, kita akan menggunakan sunscreen, dan pelembap pada kulit wajah, namun kita sering alpa untuk menyapu sunscreen dan pelembap pada kulit tangan. Jadi, tidak hairanlah jika kulit tangan akan lebih cepat berkedut walaupun kita masih muda.
Sebab terhasilnya kedutan
- Usia– Apabila manusia semakin tua, kulit manusia akan menjadi kurang anjal dan lebih rapuh. Pengurangan penghasilan minyak semulajadi akan membuatkan kulit manusia menjadi kering dan ini menyebabkan kulit kelihatan lebih berkedut. Lemak di bawah lapisan kulit juga akan berkurang dan menyebabkan kulit kendur.
- Sinaran UV– Sinaran UV akan mempercepatkan proses penuaan semulajadi kulit. Sinaran UV akan merosakkan struktur kolagen dan serat elastin dan ini menyebabkan pengurangan kolagen dan elastin.
- Merokok– Merokok dapat mempercepat proses penuaan normal kulit anda, menyumbang kepada kedutan. Asap rokok mempunyai beribu bahan kimia bahaya yang boleh merosakkan tisu kulit. Radikal bebas yang terhasil dari tindakbalas sel badan dan bahan kimia dari asap rokok akan merosakkan struktur sel manusia dan menyebabkan fungsi sel terganggu.
Tips kurangkan kedutan di tangan
Pakai sunscreen dan pelembap
Pastikan anda menyapu sunscreen pada kulit untuk mengelakkan dari kesan sinaran UV dari matahari. Dan jangan lupa untuk menggunakan pelembap seperti losyen untuk mengelakkan kulit dari menjadi terlalu kering.
Berhenti merokok
Untuk mengelakkan kesan radikal bebas ke atas tisu kulit, sebaiknya anda dinasihatkan untuk berhenti merokok. Bukan sahaja kulit akan terlihat lebih sihat, malah kesihatan seluruh tubuh anda juga akan lebih baik.
Perlukan bantuan untuk berhenti merokok? Boleh ke Klinik berhenti merokok yang dikendalikan oleh pegawai kesihatan di hospital.
Diet seimbang
Pengambilan diet seimbang adalah penting untuk mengekalkan kesihatan tisu badan dari dalam. Nutrisi seperti protein, vitamin C, vitamin E, vitamin K, omega-3, zat besi adalah sangat diperlukan badan untuk memelihara kulit dan tubuh badan dari segala jenis penyakit dan penuaan.
Antara makanan yang baik untuk kesihatan kulit ialah ayam, ikan salmon, kekacang, bawang putih, air teh hijau, raspberry, telur, tofu, daging, sayuran hijau, kentang, dan tomato.
Minum air secukupnya
Selain penggunaan pelembap, pengambilan air yang cukup setiap hari dapat mengelakkan kulit menjadi kering dan berkedut. Anda digalakkan untuk minum air sebanyak 2 – 2.5 liter air setiap hari untuk mengekalkan hidrasi kulit ditahap optimum.
Scrub
Pengumpulan kulit mati akan menyebabkan kulit kelihatan kusam, kering, kasar, dan mengurangkan kesan produk pelembap. Penggunaan scrub 2 hingga 3 kali seminggu mampu membuang kulit mati, dan membuatkan kulit lebih licin, dan sihat. Produk pelembap akan lebih mudah menyerap masuk ke dalam kulit seterunya memberikan impak maksima pada kelembapan kulit.
Untuk anda yang ingin menghasilkan sendiri scrub di rumah, anda boleh gunakan lemon dan gula. Hanya campurkan beberapa sudu air lemon ke dalam 2 – 3 sudu gula, dan sapu ke seluruh bahagian badan.