Skip to main content
DAUN INAI

Perbezaan warna inai pada kulit

By 21 July 2022No Comments

Bagi anda penggemar inai, sudah tentu anda tahu perbezaan warna inai pada kulit. Warna inai ditapak tangan akan lebih gelap berbanding pada bahagian lain. Tapi adakah anda tahu kenapa perbezaan ini boleh terjadi?

Sebelum itu, jom kita belajar mengenai lapisan kulit manusia.

Lapisan kulit manusia teratas atau paling luar dikenali sebagai stratum corneum yang terdiri dari sel kulit mati berfungsi untuk melindungi tubuh badan dari kecederaan. Stratum corneum terdiri dari 15-20 lapisan sel keratin yang telah mati.

Paste inai yang disapu pada permukaan kulit akan mula meresap masuk ke dalam lapisan stratum corneum. Molekul pewarna inai iaitu lawsone akan bergabung dengan keratin dalam tindakbalas kimia dan ini akan menghasilkan warna yang kekal pada kulit.

Selepas inai dibasuh, warna inai kelihatan oren namun warna inai akan berubah menjadi lebih gelap selepas beberapa jam disebabkan oleh pengoksidaan lawsone oleh udara.

Apabila sel mati tertanggal dibahagian atas kulit, sel kulit dibahagian bawah akan naik ke permukaan atas. Proses ini menyebabkan warna inai kelihatan pudar. Setelah semua sel yang mengandungi lawsone tertanggal, warna kulit akan bertukar seperti sedia kala.

Warna inai yang terhasil berbeza bergantung kepada ketebalan stratum corneum

 

Warna inai yang terhasil berbeza apabila inai disapu pada bahagian tubuh manusia. Warna inai paling terang pada bahagian tapak kaki dan tapak tangan kerana lapisan stratum corneum adalah lebih tebal, berbanding pada bahagian tubuh yang lain. Jadi, lawsone dapat menyerap dengan lebih banyak pada bahagian tapak kaki dan tapak tangan dan menghasilkan warna inai yang lebih gelap.