Skip to main content
DAUN INAI

Cara kenali produk 100% daun inai asli di pasaran

By 21 July 2022No Comments

Walaupun inai sering digunakan sebagai pewarna jari dan rambut, tetapi ramai antara pengguna yang masih tidak tahu perbezaan produk inai yang terdapat di pasaran.

Produk 100% inai daun asli mempunyai ciri-ciri yang berbeza dari inai segera dan inai campuran. Jom! baca cara kenali produk 100% inai daun asli dipasaran!

 

Terdapat 4 jenis inai yang terdapat di pasaran:

  1. 100% inai daun asli
  2. Inai ‘body art quality’
  3. Inai daun asli campuran
  4. Inai segera

100% inai daun asli

Produk inai daun asli tidak dicampur dengan pewarna tambahan, jadi warna yang terhasil adalah 100% dari lawsone (molekul pewarna inai) yang terdapat dalam daun inai. Anda boleh membaca bagaimana daun inai mewarnai jari dan rambut di sini.

Inai daun asli juga TIDAK akan menghasilkan warna merah terang atau merah cili. Sebaliknya, warnanya adalah oren selepas dibasuh, dan akan berubah menjadi merah coklat seakan maroon selepas beberapa hari.

Inai daun asli tidak akan kelihatan begitu merah selepas dibasuh. Namun warna akan berubah menjadi lebih gelap selepas beberapa hari. Ini kerana lawsone yang melekat pada jari dan rambut mengalami proses pengoksidaan.

Perbezaan warna inai yang baru dipakai (jari kelingking) dan warna inai setelah beberapa hari

 

Inai campuran yang pudar warnanya (jari kelingking) dan 100%nai daun asli

 

Hanya 100% inai daun asli akan kekal terang warnanya pada kuku sehingga anda habis memotong kuku. Inai daun asli campuran dan inai segara tidak akan kekal warna inai pada kuku.

 

Inai ‘body art quality’ (BAQ)

Inai BAQ sering digunakan untuk ukiran inai pada tangan dan kaki kerana teskturnya yang lebih halus dari inai biasa. Inai ini juga lebih mahal dari inai jari kerana inai BAQ telah ditapis, jadi serbuk inai BAQ adalah lebih berkualiti.

Inai BAQ tidak semestinya 100% inai daun asli. Terdapat produk inai BAQ di pasaran yang telah ditambah pewarna untuk menaikkan lagi warna inai.

Warna inai ukir yang menggunakan inai BAQ tidak akan kelihatan merah terang seperti inai segera, sebaliknya warnanya akan sama seperti 100% inai daun asli.

Inai daun asli campuran

Terdapat 2 jenis bahan pewarna yang sering ditambah dalam bancuhan inai daun asli iaitu:

  • Herba madder root
  • Sodium picramate

Bahan pewarna ini berfungsi untuk memberikan warna merah terang pada produk inai.

Inai segera

Inai segera adalah inai yang ditambah pewarna tiruan seperti food coloring. Warna merah yang terhasil tidak datang dari lawsone, sebaliknya dari pewarna tiruan yang digunakan. Bergantung pada pewarna yang digunakan, warna inai segera akan lebih terang dan gelap seakan maroon dan anda tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan warna terang.

Bila dah tahu cara kenali 100% inai daun asli, jadi senang lah untuk buat pilihan yang tepat!