Persediaan sebelum memasuki alam perkahwinan

persediaan memasuki alam perkahwinan

Persediaan sebelum memasuki alam perkahwinan sememangnya tidak boleh dipandang enteng oleh pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga.

Lelaki baik juga wanita haruslah jelas dengan tanggungjawab masing-masing supaya bahtera rumahtangga dapat terus dilayari dengan baik walau apa jua badai yang melanda.

Ketahui 5 persediaan yang harus dilakukan oleh pasangan sebelum memasuki alam perkahwinan:

Pengetahuan agama

 

Bakal suami dan isteri wajib menuntut ilmu agama dan hukum hakam berumahtangga. Tanggungjawab suami adalah membimbing isteri dan anak ke jalan yang diredhai, dan menjadi tanggungjawab isteri untuk mentaati perintah suami.

Ketahui dengan jelas hak-hak suami dan isteri supaya masing-masing dapat memenuhi tanggungjawab terhadap pasangan dan juga anak-anak. Belajar ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah, hukum halal dan haram, dan juga belajar mengaji supaya ibu bapa mudah mengajar anak-anak membaca alquran tanpa perlu mencari guru mengaji.

Mempunyai perancangan hidup

 

Ketahuilah bahawa perkahwinan bukanlah matlamat hidup, tetapi alat untuk mencapai tujuan hidup. Perkahwinan adalah seperti kereta yang digunakan untuk membawa kita dan keluarga kita ke destinasi yang ingin dituju.

Oleh itu, penting bagi suami isteri mengetahui destinasi yang ingin dituju iaitu menuju Allah dan syurganya. Jadi, jagalah kereta itu agar sentiasa dalam keadaan baik dan tidak rosak.

Jika terdapat kerosakan yang perlu diperbaiki, perbaiki dengan segera. Janganlah membuang kereta tersebut dan mencari kereta yang lain.

Bersedia dari segi mental dan fizikal

 

Apabila memasuki gerbang perkahwinan, banyak dugaan dan cabaran yang menanti. Badai yang melanda tidak akan terhenti selagi nyawa dikandung badan.

Jadi bakal suami isteri perlulah mempunyai kekuatan jiwa dan kawalan diri yang kuat supaya dapat bersabar dari melakukan  perbuatan yang boleh membawa kemudaratan terhadap keluarga.

Bakal suami harus sedar adalah haram untuk menikahi seorang wanita dengan niat untuk melakukan kemudaratan terhadap wanita tersebut atau berkahwin dalam keadaan tidak bersedia memenuhi keperluan sehingga membawa kesusahan dan kemudaratan kepada agama, nyawa, akal dan maruah wanita.

Mempunyai kesihatan yang baik

 

Kesihatan yang baik adalah dituntut agama dan adalah menjadi kelebihan kepada seorang muslim.

Pasangan yang berkahwin perlulah menjaga diri daripada terkena penyakit berjangkit seperti HIV, gonorrhea, hepatitis B, dan herpes supaya kita tidak membahayakan nyawa bakal pasangan kita.

Kita perlulah menjaga kesihatan diri supaya tidak menjadi beban terhadap keluarga. Makan makanan yang sihat dan seimbang, dan buangkan tabiat merokok.

Mempunyai pekerjaan dan pendapatan

 

Termasuk syarat-syarat asas mendirikan rumahtangga adalah pihak lelaki mempunyai kemampuan untuk memberikan nafkah dan memenuhi keperluan asas keluarga dan menyediakan tempat tinggal yang selamat.

Suami perlu menyediakan tempat tinggal yang mampu melindungi keselamatan isteri dan aurat dan tidak memudaratkan untuk menetap didalamnya.

Suami juga perlu bekerja bersungguh-sungguh dan mengelak dari meminta-minta dan mengharapkan bantuan.

 

Baca panduan pengurusan nikah di Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

×